Seni dan Sastera

Seni untuk masyarakat

ORANG SENI

Mengenali Penyair Wanita Lama di Sabah


Oleh: Yeyen Khoo

Fokus makalah ini membincangkan tentang beberapa penyair wanita lama di Sabah. Setiap penyair memiliki pendekatan masing-masing dalam menghasilkan sesebuah karya. Penekanan tema dan penggunaan diksi yang diguna juga berbeza-beza mengikut imbangan emosi yang digunakan dalam penghasilan karya.

Ony Latifah Osman, Sahara binti Jais dan Zaiton Ajamain antara penyair senior yang banyak menyumbangkan karya dalam dunia penulisan di Sabah khususnya. Ony Latifah Osman atau lebih dikenali sebagai Ludany On, Ny U’wara dan Umi On (nama pena). Beliau dilahirkan di Kampung Damai, Tandek Kota Marudu Sabah pada 28 Ogos 1963. Beliau mulai berkecimpung dalam dunia penulisan pada tahun 1983 dalam genre puisi, cerpen, skrip radio dan esei agama. Ony Latifah Osman amat terkenal dengan genre penulisan yang berbentuk keagamaan dan kecintaan kepada Tuhan. Pada tahun 2000, 2001, 2003, 2004 dan 2005 beliau memenangi penulisan Puisi Islam berturut-turut dan sempena Mahrajan Sastera Islam Sabah. Keseimbangan emosi beliau dalam karya-karya yang dihasilkan lebih berelementasikan melankolik.

“Latifah, inilah namaku, setelah berlangsir, air bening nur kasih Kausar hidayah-Mu”

(Latifah Inilah Namaku)

“Sekeping nota yang kugenggam menjadi sandaran kukuh dan esok yang hadir engkau kasihku penuh rindu tanpa engkau siapalah aku.”

(Sekeping Nota)

Selepas mengenali seseorang penulis, kita akan melihat kepada peribadi ataupun hidupnya. Karya-karya beliau banyak mengetengahkan hubungan manusia terhadap Tuhannya dan meletakkan situasi ataupun bagaimana penyair berbicara dengan Tuhannya. kebergantungan sifat insaniah dapat dilihat menerusi bait di atas dan meletakkan tingkat rindu yang tinggi kepada Tuhan dalam nada nostalgik. Didapati perasaan-perasaan penyair tidak diperjelaskan secara terus kerana lebih berkias tetapi masih nampak ketegasannya. Penyair mengimbangi emosi di dalam karya menerusi pemilihan diksi-diksi yang islamik dan sopan.

Sahara binti Jais dilahirkan pada 6 Disember 1971, di Kampung Tobobon, Menggatal Kota Kinabalu. Beliau mulai menulis puisi berunsur Islam awal tahun 1990-an. Beliau juga pernah memenangi peraduan menulis Puisi Berunsur Islam sempena Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah. Dalam buku Jelita Seorang Aisyah, karya-karya beliau bertendensikan ketuhanan dan peletakan icon wanita Islam dalam karya begitu jelas. Sahara Jais lebih kerap mengangkat isu berkaitan keperibadian seorang wanita yang diinspirasikan daripada tokoh-tokoh wanita terdahulu.

“Mohon jelita seorang Aisyah memanah kalbu saharamu. Agar teguh madrasah cintanya berpaut di putih cahaya.”

(Jelita Seorang Aisyah)

“Ujana mawar yang kau diami, menjadi lautan tragis yang menghiris, pedih menambah luka kara yang dalam, mengalir sungai berdarah”

(Balasungkawa)

Pada umumnya, imej wanita yang dicerminkan dalam karya-karya beliau bersifat positif. Seringkali meletakkan tema ataupun watak adalah wanita yang berjuang, melawan segala dugaan dengan berani serta sering kali menang dalam perjuangan. Penyair meletakkan wanita bukan seperti yang di canang-canangkan iaitu makhluk lemah. Walaupun karya beliau adakalanya bersifat meradang dalam kesedihan namun perkataan yang sederhana, padat dan penuh pengertian menguatkan lagi inti karya beliau. Ditambah lagi dengan penggunaan diksi yang puitis amat menginsafi dan berkesan ke jiwa pembaca. Antara karya beliau ialah Keredaan (Kepada cinta Rabiatul Adawiyah), Di Bibir Cinta Rabiatul Adawiyah, Bukan Milik Kita dan banyak lagi.

Zaiton Ajamain ataupun lebih dikenali sebagai Zarni pada awal 70’an.  anak kelahiran kampung Buang Sayang, Papar. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Inggeris dari University of Newcastle Upon Tyne, England. Beliau pernah bertugas sebagai guru sementara dan penterjemah di Jabatan Ketua Menteri dan Penolong Pegawai penerangan. Antara buku yang banyak menaikkan nama beliau dalam dunia kepenyairan ialah “Bagai Layang-layang”. Bagi beliau, puisi adalah getaran sukma yang dicetuskan dalam bentuk kata-kata yang terpilih.

“…tanpa membuat mama menanggung sakit yang luar biasa kerimasannya.”

(Kalaulah)

“…gondola kasih terus didayung dan aku tidak lagi menunggu. Kerana jika pelayaran ini sasarnya pelabuhan kasih aku akan terus merindu dan menunggu.”

(Gendola Kasih)

Karya-karya beliau merangkumi kaedah yang logik dan bersepadu dalam mempertimbangkan andaian. Kebanyakannya menggunakan kemahiran-kemahiran kreatif iaitu dengan menggunakan minda untuk meneroka pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai. Penerapan yang jelas menunjukkan originaliti beliau yang tersendiri. Membataskan diri dengan tema-tema penghasilan karya ke arah mengungkapkan puisi berunsur ketuhanan dengan pengamatan yang bersifat luaran seperti mengungkapkan pengalaman, pengamatan, pemikiran dan penghayatan terhadap diri dan Tuhan antara kunci utama beliau dalam menghasilkan karya.

Demikian sebahagian deretan penyair wanita lama Sabah. Penglibatan mereka dalam dunia sastera sangat penting sekali bagi mengimbangi dunia penulisan. Penekanan aliran keagamaan yang berunsurkan retorik pathos jelas digunakan oleh kebanyakan penyair wanita di Sabah. Mereka mengajak para pembaca untuk lebih mendalami sesuatu makna dengan cara mendekati jiwa-jiwa pembaca dengan tendensi Ketuhanan.


PUISI

|PUISI| Terkurung


Oleh: w. azzuar

Malu dan terhina aku benci
ucapan seperti nyalakan anjing
aku mati diantara kata-kata mereka

di mana tempat sunyi?
boleh aku bersama aku
bersama ilham yang malu turun di tempat sekawan anjing

terkurung dengan binatang
pedih makan hati
makan bangkai saudara sendiri

aku mahu pergi
tapi pilihan cuma 2
jadi bodoh atau jadi mereka

*catatan kecil
Saat karantina ini,
mungkin suatu nikmat, buat mereka yang terkurung bersama orang yang tersayang lagi menyayangi mereka.
Tapi, tidak buat mereka yang terpaksa bersama puak-puak toksik. Takziah.

|PUISI| Bandar orang gila 


Oleh: Melur dan bias 

Balada bandar orang gila
Muzik-nya tidak cukup keras

Sehingga. . .

Si babi mengalah para tuhan
Hutan seperti mengemis hujan
Yang sepi,  merayu sa-orang teman
Harus keras kuat sebelum melawan

Chanson balladee puitis manis
Ghairah panas ciuman perancis
Anak sial sedap mendayung gadis
Dendam biarlah bertikam keris

Siapa-lah aku,  pengemis puisi
schizophrenia itu sekadar delusi
Sampai mengacau otak emosi
Kita rakyat tikus tiada ber-ambisi

Wahai semua. . .

Penghuni bandar orang gila
Berhenti menadah syukur,  bila
Hanya basah di-kencing kepala

Sabtu,  Februari ke-8, 2020 
Ipoh

|PUISI| Restu Ayah-Ibu


Restu Ayah-Ibu
walau siapa yang menjagamu
merengek tangis tetap sayang
manakan hilang intan permata.

Restu Ayah-Ibu
sekolah guru memarah maki
mahu kau jadi insan berguna
walau menipu makan duit RMT.

Restu Ayah-Ibu
bas jingga memungut pagi
menghumbat penat bila petang
masih berhutang sesama rezeki.

Restu Ayah-Ibu
pulang membawa bekal penat
meneliti nota-nota yang ditampal
sebelum mencium tanpa sedar.

Belajar baik-baik
walau kita tiada ketemu
ini restu Ayah-Ibu.


CERPEN

|Cerpen| Pulasan Minyak Penuh Ke Mana?


Oleh: Hafal Abu

“Kalau aku ada dua pilihan, sama ada menjadi seorang penulis terkenal tetapi tidak berkahwin, atau berkahwin tetapi aku terus hilang, mana satu menurut kau lebih baik?”

Soal Api kepadaku semasa kami baru sahaja menyertai sesi perbincangan Kuliah Buku (KUBU) di  restoran mamak. Habis saja perbincangan utama, sambung pula dengan borak santai tentang macam-macam topik. 

Kami tidak melepaskan peluang memandangkan ini saja masa untuk berkumpul dengan kawan di Semenanjung. Borak sampai diamnya suasana, seperti ada malaikat limpas kata orang-orang tua. Kalau sudah semuanya mula membuka telefon pintar, tanda tidak ada apa mahu dikatakan lagi. Petanda untuk pulang.

Api memberi soalan tentang pilihan semasa dalam perjalanan menuju ke bilik hotel bajet di sekitar Chow Kit. Kehangatan udara di kota pada waktu malam agak menyeksakan. Lain rasa nafasnya. Kami berdua menyeret langkah lesu satu persatu. 

Minggu ini memang satu minggu yang melelahkan. Dari menyelesaikan lambakan kerja pejabat, petangnya terus terbang ke tanah Malaya hanya untuk membeli buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Aku dan Api tidak akan melepaskan peluang ini kerana kami memang gilakan buku sejak zaman ijazah lagi. 

Cumanya, si Api lebih fokus kepada penulisan bukan fiksyen biarpun dia tidak benar-benar menguasainya. Barangkali buku itu menggambarkan kita sebenarnya kontang dengan pengisian apa. 

Kalau buku agama, barangkali dia ada kesedaran bahawa ilmu agamanya masih di tahap kurang memuaskan. Kalau buku cinta, mungkin dia mahu merasakan perjalanan cinta yang berbagai. Kalau buku fiksyen fantasi, mungkin dia mahu merasai perjalanan dunia alternatif. 

Begitulah Api. Banyak buku hal-hal penulisan dan keagamaan disambar. Mahu jadi ulamakkah, aku soal dalam nada gurau. Dia tergelak saja. Rata-rata buku agama yang dibelinya bukan buku biasa, tapi ianya bahagian penting untuk pembinaan rangka pemahaman agama yang kukuh buat bekalan dunia dan akhirat. Adalah sebuah dua buku fiksyen. Yang menjadi persoalannya sekarang, Api boleh tahan dalam menulis. Mengapa beli buku tentang penulisan?

Dan tentang soalan pertama tadi, ianya seperti satu perangkap bagiku. Dia baru putus cinta dalam beberapa bulan dulu. Teruk betul kecewanya. Putus dalam waktu rindu dan cintanya memuncak. Setelah pulang dari Pulau Langkawi selepas diberhentikan kerja secara mengejut, kemudian berpisah pula dengan orang tersayang. Sudahlah hilang mata pencarian rezeki, sumber kasihnya pula pergi meninggalkan diri.

Pada awalnya, aku terkejut dengan kehadirannya di rumah kerana tiga bulan sebelum itu dia begitu teruja memberitahu bahawa dia dapat kerja tetap. Tempatnya pula jauh. Penghujung dunia. Gaji memang memuaskan. Makan minum dan tempat tinggal, disediakan. Aku turut tumpang gembira.  

Pada hari pertama keberadaannya di rumah, aku sangkakan dia ada hal penting perlu diselesaikan. Buat dua tiga hari, aku biarkan saja Api di rumah. Mana tahu dia perlukan ruang untuk bersama dengan keluarganya. Tapi semakin lama, aku rasa tidak sedap hati. Mahu dekat seminggu lebih dia berada di rumah. 

Takkanlah syarikatnya beri cuti selama itu? Atas urusan apa? Aku pun terus singgah ke rumah. Semasa aku melawatnya, dia terlentang lesu di atas tilam besar. Baring, tidak berkata apa. Cakap pun sepatah-sepatah. 

Diajak bermain gitar di taman, dia enggan. Selalunya dialah yang paling gembira. Bukan seperti Api yang aku kenal. Badannya kelihatan sedikit susut. Sekeliling matanya membengkak. Sama ada dia terlalu banyak menangis atau berjaga malam atau tidur terlampau lama, siapa tahu?

Bangun, tidur, makan. Seperti bangkai hidup. Begitulah kata ibunya. Ibunya pula risau dengan keadaannya. Diajak duduk sekali beramah mesra dengan keluarga pun dia tidak mahu. Apatah lagi kalau aku yang tidak sedarah dengannnya?

Aku sudah menjalankan tanggungjawab aku sebagai rakan, tapi dia tetap berdegil untuk kekal begitu. Rakan mana tidak sedih dengan keadaan sebegini. Cuit pinggang kiri, satu badan mengelak.

Selepas beberapa minggu dari hari aku melawatnya, aku ternampak dia sedang berlari sendirian di taman sewaktu pulang dari kerja. Pada mulanya aku tidak percaya, kemudian aku terus berjumpa dan bertanya khabar. 

Alhamdulillah. Dia sudah boleh menerima hakikat dan menerangkan apa yang berlaku dari huruf alif ke huruf ya. Semasa itulah dia buat perancangan mengejut untuk pergi ke PBAKL. Sudahlah baru merancang, tiket penerbangan dan hotel ditempah saat itu juga. Memang luar jangkaan dia kali ini. Semuanya dibayar dengan gajinya dahulu. 

“Almaklumlah, orang kaya. Gaji berkepuk, pampasan pun ada. Kali ini, kita kena move on brader!” katanya dengan senyuman lebar. Syukur. Ada cahaya kebahagiaan di wajahnya.

Jadi, berbalik kepada soalan pertama tadi, barangkali dia mahu memutar minyak motorsikal penuh. Namun, menuju ke arah mana yang lebih baik adalah relatif. Jika menjadi penulis, dia akan memenuhi cita-citanya. Kemudian, setelah tumbuh besar, semestinya dia akan membantu negara dalam melahirkan barisan penulis muda yang lebih baik. Masalahnya, dia akan merasa kesunyian dalam menuju usia tua.

Kalau dia berkahwin, namanya tidak akan kedengaran. Kewujudannya di alam maya, terus hilang. Tidak ada satu berita tentangnya pun yang orang akan tahu. Barangkali dia berusaha sehabis baik dengan bekerja untuk mengahwini bekas kekasihnya dahulu. Kerja apa pun dia sambar. Tidak kisahlah sebagai pengepam minyak di stesen gas, tukang promosi kerusi urut mahal, pencuci pinggan kedai makan Cina, dia sanggup.

Dia memang memegang kata-kata. Selama aku berkawan dengannya, tidak pernah dia mungkir janji. Tetapkan saja bila mahu berjumpa, dia akan ada di sana setengah jam lebih awal. Untuk kes kahwin ini pula, dia mahu buktikan kepada perempuan itu bahawa dia bukanlah sembarangan lelaki.

“Tidak ada jalan tengahkah?” Aku bertanya. Api menggeleng kepala dan tersenyum.

“Okaylah, aku pergi mandi dulu. Melekit rasa badan. Dah mandi baru lena tidur.” Kata-kata akhir aku untuk Api. Iya, tentang mandi dan tidur. Keesokan harinya, dia terus hilang. Aku tidak tahu dia ke mana. Tiket penerbangan tepat pada hari itu.

Aku sangkakan dia pergi sarapan di awal pagi. Setelah berjam-jam aku tunggu di dalam bilik, kelibatnya tidak juga muncul. Aku cuba menghubunginya. Gagal. Resah. Tinggal beberapa jam lagi untuk penerbangan ke kampung halaman. Nasib baik di tengah kota. Senang untuk naik tren terus ke lapangan terbang. 

Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari ke arah kaunter dan tanya jika sesiapa ada nampak Api, dan jam berapa dia keluar dari hotel. Sempat aku tanyakan kalau-kalau ada pesanan ditinggalkan. Rupa-rupanya Api terus beredar selepas waktu aku tidur. Pergi tanpa pesan.

Dengan rasa berat hati, aku bergegas menuju ke lapangan terbang. Tidak ada pandang belakang kerana kalau aku kekal menunggu, kecil peratus kebarangkalian untuk dia kembali. Aku harus selamatkan diri aku dahulu. Sedikit rasa kecewa timbul bila diperlakukan sebegitu.

Dari dalam kapal terbang sampai ke rumahku sendiri, masih sukar bagiku untuk menerima hakikat yang dia beredar begitu saja. Apa dia mahu meninggalkan rasa sepertimana dia ditinggalkan?

Dan persoalan utamanya sekarang, di antara dua jalan itu, bagaimana aku mahu tahu Api mengambil jalan yang mana satu? Haruskah aku bertandang ke PBAKL setiap tahun dan mencarinya di semua reruai? Atau tunggu saja kad perkahwinan yang aku pun tidak tahu bilakah tarikhnya?

|Cerpen| Gelandangan


Oleh : Achmad Fatkur

Dia masih berdiri di atas kepala jejantas kota raya yang sibuk dengan anak-anak Adam mencari kemewahan dunia. Memerhati dan terus memerhati setiap langkah manusia yang pelbagai ragam, agama dan bangsa. Begitu juga ragam kenderaan yang berlalu perlu dibawa kakinya, ada yang kecil dan ada yang besar mungkin dunia yang dia pijak telah lama maju tanpa dan masih segar dalam ingatan. Masa begitu laju mengharungi detik-detik kehidupan manusia yang silih berganti, ada yang mati dan ada yang lahir ke dunia. Kemajuan pesat bila dunia metropolitan mengharungi detik-detik kemajuannya.

       Suasana pada pagi itu membuktikan keindahan matahari yang sudah mulai dilindungi oleh awan yang hitam. Angin kembali mendatangi panggilan awan dan telah menghempap muka Pak Mat. Beberapa kali Pak Mat menyelak rambut putihnya yang semakin tua ditelan oleh zaman peperangan. Rambut yang dulunya hitam telah bertukar menjadi putih mungkin kerana tua semakin memunculkan dirinya. Rambut-rambut mulai berguguran dibawa jejantas kesibukan dunia.

        Pak Mat mengalihkan perhatian kepada bangunan-bangunan tinggi berhadapan dengan dirinya, di situlah tempat para menteri, para bangsawan dan para kerani. Tapi di sebalik kemegahan bangunan tinggi itu, terdapat juga para perosak negara, para pengkhianat dan para penerima rasuah. Pak Mat dapat melihat dari sudut dirinya yang sudah lebih setengah abad hidup di jalanan, ketinggian membuat kita jatuh dalam karya kita sendiri begitu juga dengan aku dahulu sehingga aku digelar kecundang dalam negara.

          Begitu juga dengan orang-orang yang terkejar-kejar dengan wang seperti mengejar harta dunia semata-mata tanpa menghiraukan disebalik dunianya ada dunia yang memerlukan bantuan kemanusiaan. Mereka mengejar masa dan masing-masing dengan tujuan hidup yang berbeza. Tentunya begitu terukir dalam surat takdir setiap manusia oleh Yang Maha Kuasa begitu juga dengan Pak Mat telah menjadi suratan hidupnya, terbuang disisi kemajuan ibu kota.

          Alangkah baiknya kalau diantara manusia-manusia yang berkeliaran itu mengajak Pak Mat untuk bersama-sama dengan mereka. Tidak kisah mahu menjadi apa pun, asalkan halal dan dapat mencari secebis nasi untuk dimakan. Sudah cukup baginya.

           Pak Mat mula melihat keadaan dirinya dari hujung kaki sehingga ke hujung rambutnya yang telah beruban putih. Dia meraba-raba tubuh kotornya yang ditutupi hanya dengan pakaian lama berlambangkan bendera Malaysia dibahagian belakang baju. Dengan perlahan kaki yang lama berdiri mula terasa peritnya ia duduk disamping jejari-jejari besi yang memagari jejantas itu.

          Dia mula mengusapkan kedua belah tangannya yang sudah mulai tua di telan zaman. Kulit yang dulunya tegang kini menjadi jatuh seperti daun tua yang berguguran di taman ketika dulu. Tiba-tiba mulut yang tertutup tadi mula mengeluarkan luahan hati yang hanya tersimpan dalam hati penuh dengan keluhan. Pak Mat mula melihat manusia-manusia yang lalu-lalang di hadapannya tanpa memikirkan satu sama lain. Ada orang yang bertali leher tapi tidak menyambung silaturrahim, ada yang memakai baju kot berjenama Gucci  tapi lupa bersedekah. Dia mulai meraba baju yang koyak di lengan kirinya. Ramai anak-anak menyandang beg sekolah dengan penuh pengharapan dan semangat yang gigih untuk menimba ilmu. Di wajah-wajah mereka terukir segala impian yang tidak akan ternilai harganya. Semakin Pak Mat menggenggam kedua bela tangannya mengharapkan duit syiling terlontar di hadapannya.

          Ah, hari masih awal lagi. Matahari belum sampai ke puncaknya, hanya bersabar sahajalah mungkin rezekinya lambat datang. Pujuk hati Pak Mat yang awal pagi dalam kelaparan. Lalu pandangannya beralih ke sebelah hujung tembok kirinya, ia terdengar laungan-laungan gitar yang menghidupkan suasana dengan bunyi-bunyian indah menusuk hati masyarakat yang sedang berjalan di hadapannya. Rupa-rupanya ada seorang seniman jalanan yang buta. Tidak dapat melihat dunia sekian lama. Tapi tuhan itu Maha Adil, memang buta tetapi irama-irama lagunya telah membuatkan dia merasa sempurna. Di hadapannya terdapat tin kosong yang dibalingkan duit-duit kecil oleh masyarakat yang masih ada hati untuk menderma. 10 sen , 20 sen dan 50 sen dipandang hina oleh mereka yang tidak tahu erti bersyukur tetapi dengan syiling inilah orang-orang jalanan boleh kembali hidup.

       Pak Mat pula menoleh pandangan ke sebelah kanan, dia melihat seorang perempuan cantik yang berumur jagung sedang melabuhkan punggungnya  bersandar pada dinding-dinding jejantas yang telah menjadi saksi bisu kehidupannya.

       Pada bahu kanannya tersangkut beg berjenama Adidas yang menjadi tempat pakai-pakaiannya. Sementara di tangan kanannya memegang pena kecil yang berukuran 3 inci dan di tangan kirinya terdapat buku catatan kecil yang dibiarkan berbogel. Dia pun mula menulis sesuatu dengan khusyuknya tanpa menghiraukan mata-mata orang.

      Sambil duduk ditemani alunan lagu-lagu yang dimainkan oleh orang buta itu. Dia pun mulai mengangkat penanya dan mula melukis sosok tubuh perempuan itu dalam sajak puisinya. Semakin lama semakin fikiran berputar, kenapa anak perempuan ini berpakaian seperti bertelanjang? Dia duduk bagaikan seorang lelaki di hadapan orang berlalu-lalang, seluar ketatnya menambah bentuk pahanya yang ketat. Baju yang amat singkat berwarna putih memperlihatkan pusat kecilnya yang bertatu naga. Muka yang agak kehitaman tapi masih ada keputihan berasa kelembutan dalam wajah anak muda itu, rambutnya panjang menutupi punggungnya dibiarkan ikatannya terbiar sehingga kusut bagaikan sarang tikus. Matanya bulat kemerah-merahan di lengkapi dengan celak-celak yang berguguran di kelopak matanya. Dan mata merah itu menentang pandangan Pak Mat yang sedang menunjukkan penanya pada atas kertas. Secara tiba-tiba perempuan itu mula berbuka mulut degan lantangnya.

“Kau orang tua, apa kau tengok tu? Kau nak APA?!” katanya dengan kasar berhadap dengan pandangan Pak Mat yang hampir pergi dari situ.

           Kemudian dia menyambung semula katanya, “sedar lah sikit orang tua, kau dah lah miskin dan tengok body aku yang seksi ini. Bagus kau pergi mampuslah, orang tua tidak tahu diri. Gatal!” Pak Mat yang berdiri dijalanan ketika itu berasa terperanjat dan beg sandangnya hampir jatuh. Malu mula terasa di hati seorang tua itu, meski dia tidak membuat perkara-perkara bodoh yang selalu manusia lakukan untuk memuaskan diri mereka. Dia  mulai menundukkan kepala dan berlagak tenang.

          Semakin lama air mata perempuan itu mulai jatuh ke pipi teringat peristiwa hitamnya yang membuat dia jadi begitu, bagaikan seorang pelacur yang mencari mangsa di kegelapan lorong-lorong kecil kota raya.

“Aku ini belum kahwin, tapi orang sudah kata aku perempuan murahan. Kau tahu kenapa?” perempuan itu mula berpaling muka ke muka tua pak mat, tapi dia buat tidak tahu apa-apa. Perempuan itu mula menggosokkan matanya dengan kedua-dua bela tangannya, sedangkan poket kirinya terjuntai sapu tangan.

      Tidak lama kemudian perempuan itu duduk di sampingnya dengan perlahan-lahan Pak Mat menggeserkan tempat duduknya ke tepi sedikit demi sedikit, meski terasa malu. Tapi mungkin ada sebab yang muhasabah yang boleh diterima oleh akal. Mungkin perempuan ini telah gila agaknya kata Pak Mat dalam lubuk hatinya. Tapi kerana di situlah tempatnya mencari sesuap nasi kalau tidak sudah lama dia berambus dari situ, kerana tabiat perempuan gila itu.

“Hye, orang tua. Adakah kau tidak percaya aku mempunyai kekasih hati yang ramai, dulu aku seorang puteri cantik yang digilai oleh semua putera-putera kaya dalam bandar ini. Kau tidak percaya dengan kata ku ini, hye orang tua! Aku sedang bercakap dengan kau ini.” Dia berkeras ingin memberitahu sesuatu tapi Pak Mat tetap membiarkannya. Orang yang lalu-lang dihadapannya semakin lama semakin berkurangan. Bunyi alunan gitar Si Buta masih lagi terlontar di telinga-telinga manusia yang menaiki jejantas itu.

      Perempuan itu pun mulai meraba-raba beg jenama ponixnya. Kertas-kertas kecil mula dikeluarkan lalu diletakkan di atas simen. Menjadi tempat-tempat para gelandangan seperti aku mencari sedikit wang untuk terus hidup. Maka di buka segala isi kertas tersebut seperti membuka peti yang berharga. Takut tercalar segala tulisan yang ada dalam surat tersebut.

“Ini surat pertama dari kekasih ku. Dia memuji aku bagaikan rembulan yang mekar di malam hari. Dia…”

“Pagi-pagi buta seperti ini mana ada bulan, ada pun kuih bulan. Itu pun tunggu tahun baru cina.” Celah Si Buta yang memberhentikan petikan gitarnya sambil ketawa.

 “Eleh, kau lelaki tua buta. Tahu apa kau tentang cinta, dah lah bagus kau main gitar buruk mu seja.”

 “Aku memang tidak tahu tentang cinta tapi aku dah ada 3 orang anak.” Jawab Si Buta sambil melanjutkan petikan gitarnya. Pak Mat hanya dapat tertawa dengan gelagak si buta itu.

“Bodoh! Semua lelaki yang kenal dalam dunia ini semuanya bodoh. Ada Si Buta tidak siuman, ada Si Tua pun tiada guna.” Bebel perempuan itu terhadap kedua orang tuanya yang berumur setengah abad itu. Lalu dia mengangkat kaki dari tempat itu, ketika dia mahu pergi. Terdengar suara dari Pak Mat yang terdiam seketika tadi.

“Anak muda, kau masih muda penuh dengan tenaga. Maka gunakan tenaga itu untuk kebaikan, jangan fikirkan masa lalumu. Sesungguhnya Tuhan telah mengubah hidupmu di masa hadapan lebih baik dari sekarang jika kau sendiri mengubahnya dengan hati. Tiidak kiralah bangsamu sendiri menghina lantaran masa lalumu yang kotor. Mungkin kau akan menyesal jika kau tidak berubah dari sekarang anak muda. Tuhan sentiasa ada untukmu. Ingat itu anak muda.” Kata-kata semangat yang diberikan oleh Pak Mat sambil melihat ia berhenti sambil berhenti di sebelahnya tanpa melihat mukanya.

       Kata-kata dari seorang gelandangan tua telah menusuk hati perempuan itu dan membuka sedikit hatinya untuk membenarkan cahaya putih menyinari hatinya yang mulai ditenggelami oleh kehitaman, walaupun sering kali diihina oleh masyarakat dia tetap tidak menghiraukannya.

        Keadaan itu telah memberikan suasana baru untuk perempuan itu, meski lama tidak mendengar kata seperti itu. Walaupun suara-suara para keluarga, para ustaz dan ustazah dan para ahli kaunseling. Memberikan kata-kata nasihat terhadapnya tetap dia menodainya, tapi entah kepada pada masa itu berubah seakan-akan Tuhan ada pada diri seorang gelandangan tua yang kerjanya hanya duduk mengemis di jejantas kesibukan kota.

        Dengan pelan perempuan itu pun berlalu pergi dan ingin mengubah nasib dengan bercita-cita untuk hidupnya karena Tuhan. Pak Mat hanya mampu membiarkan perempuan itu berlalu sambil mendoakan agar Tuhan memberi cahaya untuk hidup di dunia.

        Awan hitam semakin lama semakin menutupi cahaya mentari ketika itu. Angin mula bertiup kencang. Tidak lama kemudian, hujan mula turun membasahi bandar yang kehausan kenikmatan Ilahi. Pak Mat mula mencari tempat teduh di sebalik tembok-tembok jejantas itu, hanya ditemani oleh hujan dan Si Seniman buta dengan gitar tuanya.

        Mata Pak Mat mula berkeliaran melihat kanan dan kiri, melihat gelagat para manusia yang pelbagai ragam. Ada yang berserban sambil menutupi seluruh badan tapi tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan, hanya pakaian yang indah tapi hati sehitam arang. Ada wanita bertudung dianggap solehah tapi mengkeji para anak-anak jalanan mengemis dihadapkan mereka. Manusia semakin hilang kemanusiaannya. Kata hati Pak Mat.

       Ketika kehujanan semakin melimpahkan air sucinya turun ke bumi, kelihatan air mata membasahi raut wajah gelandangan tua itu. Kegembiraan yang terukir dari wajah-wajah anak jalanan ketika hujan muncul bagaikan sebuah rahmat yang tidak ternilai harganya dengan wang tunai mahupun bangunan pencakar langit yang menjadi kebanggaan dunia, mereka bermain hujan tanpa menghiraukan apa dunia hendak katakan. Asal mereka berbahagia dengan kehidupan mereka. Hidup mereka memang terasing dari kehidupan rakyat-rakyat kota, mereka hanya dibekalkan sebuah gitar dan gendang. Terkadang hanya dibekalnya dengan kasih sayang. Apakah dunia kali ini semakin kejam lantaran miskin mereka, memang mereka tidak bersekolah tapi tahap kemanusiaan mereka lebih baik dari mereka yang bersekolah tinggi dan berkerjaya. Itulah apa yang dilihat oleh Pak Mat terhadap dunia sekarang.

        Dan ketika cuaca hujan berhenti, maka berjalanlah semua putaran dunia dengan hal masing-masing. Begitu juga Pak Mat, mungkin dia harus pulang bersama dengan semua kotak sedekahnya. Kotak yang kecil itu diharapnya mampu menampung sebungkus nasi setiap hari. Dia pun mula membuka kotak tersebut. Hanya RM1.00 sekeping dan tiga syiling lima puluh Sen. Meski tidak seberapa tapi dia tetap bersyukur dan tidak mengeluh. Dia tahu bahawa tuhan yang mengatur rezekinya di dunia.

       Warung Pak Arif menjadi tempat persinggahannya untuk membeli sebungkus nasi. Walaupun dipandang hina oleh mereka yang duduk di warung itu, Pak Mat tidak kisah. Dia di situ untuk membeli bukan mengemis. Dengan tubuh tuanya ditambah lagi dengan pelbagai penyakit yang dhadapi, dia harus berjuang dalam kehidupan ini. Bungkusan nasi dan sedikit lauk menjadi santapannya pada tengah hari itu. Perut mulai merasakan kelaparan kerana sarapan hanya dibekalkan ikatan tali sampah pada perut.

     Bungkusan nasi itu di bawa balik ke tempat tinggalnya di bawah kolong Jambatan Melawati. Dia mula membuka bungkusan nasi yang tidak seberapa itu, ketika itulah hatinya mulai bersedih kembali bila melihat anak kecil memakan sisa-sisa makanan yang dibuang ke dalam tong sampah. Maka dipanggillah budak kecil itu.

    “Anak, ambillah nasi pak cik. Pak cik masih kenyang.” Sedangkan bunyi perutnya semakin terasa pedih. Namun, Pak Mat tetap bertahan, “Mungkin ini bukan rezeki aku.” Kata Pak Mat dalam diam.

    Lalu pergilah anak kecil itu membawa bungkusan nasi dengan rasa gembira. Anak kecil itu pun pulang dan memberikan bungkusan nasi tersebut kepada seorang perempuan tua yang terlantar di bawa tindihan-tindihan kotak dan sampah. Dengan melihat sifat anak itu. Ia tersentuh, mungkin hidupnya amat teruk tapi ada lagi orang lebih teruk dari kehidupannya.

    Pak Mat pun mula mencari rezeki dengan memungut tin-tin di bahu jalan, ketika itu jalan masih terasa basah. Tayar-tayar besar memijak lopak-lopak air jalanan sehinggakan membasahi tubuh Pak Mat. Dia terus mencari dan mencari. Pada hujungnya dia melihat anak gelandangan itu ditengah jalan raya dan di situ terlihat juga kenderaan proton berwarna merah terang yang berlari laju seperti harimau menerkam mangsanya.

     Bunyi hentakan kuat terdengar. Sejurus beberapa minit, bunyi kereta ambulan dan polis memecahkan suasana, kelihatan warna merah darah mula mewarnai jalan raya tersebut. Orang- orang yang turun dari kenderaan dan berduyun-duyun melihat apa yang terjadi, ada yang hanya mengambil gambar dan menyebarkan dalam media masa dan pula yang mencatat nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan untuk menjadi nombor ekor.

     Dihadapan muka surat khabar yang tersedar laju di pelosok negara di radio dan juga di televisyen. Muncul muka yang tidak terduga oleh dunia ini, Pak Mat telah terlibat dalam kemalangan ketika hendak menolong seorang anak gelandangan. Kematian tersebut telah menjadi simbol kepada para manusia yang berseronok dalam dunia ini yang tidak memperdulikan manusia seperti mereka yang terbuang tanpa ada jiwa-jiwa turun mula membantu mereka.

     Hidup menjadi gelandangan banyak mengajar Pak Mat erti kemanusiaan meski waktu mudanya jauh dari sifat kemanusiaan tapi Tuhan cintakan dia dan memanggilnya dengan suratan takdir yang berpihak kepadanya.

|Cerpen| Dongeng Sampah


Oleh: Muhammad Julazman Jupri

Semua pemandu lori kelihatan bingung. Mereka terkial-kial seperti sedang mencari sesuatu. Mereka sepertinya telah kehilangan sesuatu. Mereka terkejut apabila melihat segala tempat yang menjadi kebiasaan bagi mereka datang untuk menghantar sampah bagai kehilangan tempat untuk mereka membuang segala kekotoran dunia ini. Mereka sememangnya sudah hidup sebati dengan tempat ini. Segala bau yang busuk dan jijik itu adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Namun, sampah-sampah itu tiba-tiba hilang. Ke mana perginya sampah?

Jika sampah-sampah tersebut hilang, ini bermakna mereka juga akan turut kehilangan pekerjaan. Sampah adalah hidup dan mati mereka. Selama ini sampahlah yang telah banyak memberikan mereka kehidupan. Sampahlah yang menghidupkan keluarga dan anak-anak mereka, sampahlah yang membesarkan dan menampung segala persekolahan anak-anak mereka. Sampahlah punca utama rezeki mereka. Bayangkan bagaimana kehidupan mereka jika ketiadaan sampah?

Semua pemandu lori tersebut pulang dengan kosong. Mereka pulang berpusu-pusu sambil membunyikan hon sebagai tanda protes dan ketidakpuasan hati mereka. Mereka tidak berpuas hati kerana segala sampah-sampah tersebut hilang begitu sahaja. Apa yang kebiasaannya tidak digunakan lagi akan dinamakan sebagai sampah. Segala barangan seperti besi, plastik, botol, kertas, pakaian mahupun bayi yang dibuang juga kebiasaannya digelar sampah. Yang membuang bayi juga layak digelar sebagai sampah. Sampah masyarakat.

Kebiasaannya, penduduk kotalah yang sering kali membuang sampah. Mereka sewenang-wenangnya sahaja membuang sampah di merata-rata tempat walaupun tong sampah telah disediakan. Tetapi jika tong tersebut telah penuh mereka hanya akan membiarkan segala sampah tersebut bertaburan keluar sehingga mendatangkan bau yang kurang menyenangkan.

Bila sudah terjadi perkara yang kurang menyenangkan, barulah semua masyarakat hendak menyalahkan pihak Majlis Perbandaran. Walhal, segala kemudahan seperti tong sampah telah disediakan namun tidak digunakan dengan cara yang betul. Terkadang, pihak Majlis Perbandaran juga menghadapi masalah apabila terdapat sampah yang terlalu banyak. Seolah-olah penduduk yang tinggal di bandar ini berak sampah setiap hari.

“Arahkan semua kakitangan kita untuk bermesyuarat sekarang. Saya tidak mahu ada seorang pun yang tidak datang. Faham?”

“Faham tuan.” Kata aku.

Tuan Pengarah Majlis Perbandaran memanggil semua kakitangan untuk mengadakan mesyuarat tergempar. Mereka semua ingin mencari tahu ke mana segala sampah yang ada di bandar ini. Adakah semua penduduk bandar telah berhenti untuk membuat sampah? Ke manakah mereka membuang segala sampah yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka?

“Kamu ada apa-apa maklumat mengenai sampah-sampah yang hilang di bandar kita ini?” Soal Tuan Pengarah kepada kakitangan lain.

Semua terdiam. Mereka semua kelihatannya bingung.

“Kami pun tidak mendapat apa-apa maklumat tuan. Berita ini sangat mengejutkan kami semua.”

“Betul tu, tuan. Kami semua berasa pelik. Ke mana semua sampah-sampah itu pergi? Bukankah sampah-sampah itu adalah sebahagian daripada kehidupan mereka?”

Tidak ada seorangpun yang tahu ke mana segala sampah-sampah itu pergi. Mereka semua bingung dengan situasi yang melanda bandar mereka pada ketika ini. Tuan Pengarah mengarahkan semua kakitangan untuk turun padang dan pergi menyiasat di mana penduduk kampung membuang sampah mereka.

Semua kakitangan bergegas keluar daripada bilik mesyuarat. Mereka semua terus menukar pakaian masing-masing. Daripada berbaju kemas dan bertali leher kepada berbaju biasa seperti masyarakat lainnya. Mereka berpecah kepada beberapa kumpulan dan mencari tahu di segenap pelosok bandar tersebut.

Hampir selama sejam mereka pergi mencari tahu di mana keberadaan sampah yang selalu menjadi mercu tanda dalam bandar ini. Tetapi nampaknya mereka tidak menjumpai apa-apa pun. Mereka semua kelihatan penat. Mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke pejabat mereka semula. Mereka tahu pasti Tuan Pengarah akan memarahi mereka semua kerana tidak mendapat apa-apa bukti mengenai sampah tersebut.

“Tuan. Kami tidak menjumpai apa-apa bukti, tuan. Puas kami mencari di seluruh pelosok bandar ini tetapi tiada apa-apa bukti.” Kata salah seorang kakitangan dalam pejabat itu.

“Tak jumpa apa-apa? Macam mana boleh tak jumpa? Ke mana hilangnya segala sampah-sampah tersebut?” Marah Tuan Pengarah sambil menghempas meja yang ada di hadapannya.

Mereka semua terdiam. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Mereka tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Semuanya mengeluh dan kepenatan. Entah ke mana sampah itu hilang. Tiba-tiba…

“Tuan! Tuan, saya dah tahu di mana semua sampah-sampah tersebut!” Sambil tercungap-cungap akibat kepenatan berlari.

“Hah? Di mana semua sampah tersebut?”

“Ada di sebalik bangunan tinggi di hadapan kita ini tuan. Segala sampah-sampah itu telah menjadi tinggi seperti bangunan tuan. Err.. lebih tinggi dari bangunan sebenarnya.” Kata dia sambil membuka langsir dan menunjuk ke arah longgokan sampah yang sangat tinggi melebihi bangunan tempat kami berdiri sekarang.

“Siapa punya angkara ni? Bagaimana saya tidak pernah tahu-menahu tentang bangunan sampah yang mereka dirikan tu?”

Semua saling berpandangan antara satu sama lain. Tuan Pengarah kelihatan bingung memikirkan tentang bangunan sampah yang tiba-tiba sahaja wujud di bandar mereka. Dia sendiri selaku Tuan Pengarah tidak pernah diberitahu tentang kewujudan bangunan sampah tersebut.

“Kenapa tidak ada seorangpun yang tahu tentang kewujudan bangunan sampah ini di bandar kita? Kamu semua makan gaji buta!”

“Kami juga baru melihat bangunan tersebut tuan. Selama ini pandangan kami ditutupi oleh segala langsir yang menutupi ruang pejabat ini.” Jawab salah seorang kakitangannya.

 “Oh. Jadi selama ini kamu tidak pernah turun padanglah untuk memantau segala aktiviti pembuangan sampah di bandar kita ni? Habis tu macam mana kamu semua boleh menyiapkan segala laporan kamu kalau kamu sendiri tidak pernah turun padang?” Soal Tuan Pengarah.

Tuan Pengarah kelihatan berang dengan sikap kakitangannya yang tidak tahu-menahu satupun tentang aktiviti pembuangan sampah di bandar mereka. Dia asyik berjalan mundar-mandir sahaja. Keresahan jelas terpampang di wajahnya.

“Bagaimana dengan perusahaan tempat pelupusan sampah anak saudara saya? Kemungkinan besar syarikat anak saudara saya akan lingkup. Para buruh pasti tidak mempunyai pekerjaan untuk dilakukan. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Perkara ini sangat merugikan syarikat anak saudara saya.”

“Kami mendapat laporan bahawa syarikat pelupusan sampah anak saudara tuan terpaksa ditutup kerana para pekerja ramai yang berhenti dan berpindah ke tempat pembuatan bangunan sampah itu, tuan.”

“Apa? Mereka sudah melampaui batas! Adakah syarikat mereka mempunyai lesen untuk membina bangunan sampah tersebut? Adakah syarikat mereka telah berdaftar di bawah Majlis Perbandaran?”

“Mereka belum berdaftar, tuan.”

“Kalau begitu, kita boleh saman mereka kerana membuat bangunan sesuka hati dalam bandar kita. Bandar ini ada peraturan. Mereka tak boleh berbuat sesuka hati mereka.” Tegas Tuan Pengarah.

Tuan Pengarah dengan segera mencapai baju yang terletak pada kerusinya. Dia bergegas keluar meninggalkan ruang pejabat.

“Tuan nak ke mana?” Soal kakitangannya.

“Ke tapak pembinaan bangunan sampah tu. Saya hendak menyiasat sendiri tentang perkara ini. Hal ini tak boleh dibiarkan lagi.”

Beliau terus berlalu meninggalkan semua kakitangannya. Dia mengarahkan kakitangan yang bertugas di kaunter pejabat untuk menghubungi pemandunya untuk datang. Dia kelihatan betul-betul resah dan tidak menentu.

Tidak berapa lama kemudian, pemandunya tiba. Beliau bergegas mengarahkan pemandunya ke tempat tapak bangunan sampah tersebut. Perjalanan ke sana tidak berapa jauh daripada pejabat Majlis Perbandaran tetapi terpaksa mengharungi beberapa lampu trafik dan selok-belok beberapa jalan yang sempit.

“Kita sudah sampai, tuan.” Kata pemandunya.

Tuan Pengarah kehairanan melihat persekitaran bangunan sampah tersebut. Berpusu-pusu orang ramai yang datang untuk membuang sampah mereka. Ada juga yang sanggup mendirikan khemah dan menetap di sekitar tempat pelupusan sampah ini. Tiba-tiba Tuan Pengarah menahan beberapa orang yang pergi ke tempat pelupusan sampah berkenaan.

“Mengapa kamu semua sanggup menghantar segala sampah kamu sendiri ke sini? Bukankah selama ini Majlis Perbandaran sedia mengambil segala sampah di hadapan rumah kamu sendiri?”

“Memanglah selama ini pihak Majlis Perbandaran sedia mengambil segala sampah kami tetapi kalau kami menghantar segala sampah kami ke sini secara sendiri, mereka akan mengenakan caj kepada kami sebanyak RM5 untuk setiap sampah yang kami bawa.”

“Habis tu kenapa kamu beria-ia hendak hantar sampah ke sini? Sedangkan kami tidak pernah mengenakan sebarang caj ataupun bayaran kepada kamu.”

“Tetapi kami akan diberikan sebuah kupon cabutan bertuah yang membolehkan kami bergelar sebagai jutawan dalam sekelip mata.”

“Kupon? Jutawan? Ini tidak masuk akal. Pasti kamu semua sudah kena tipu.”

“Tapi tuan, ada sudah orang yang kena dan dia terus menjadi kaya-raya.” Jelas mereka lagi.

“Ini semua gila. Yang jelas mereka semua tidak mempunyai lesen berdaftar daripada Kementerian Kewangan. Mereka bergiat secara haram. Mereka semua akan saya bawa ke muka pengadilan.”

“Yang pastinya tiada lagi masalah sampah, tuan.” Jawab yang lain pula sambil berlalu pergi.

Tuan Pengarah masih tidak berpuas hati dengan segala jawapan mereka. Dia masih berpendapat bahawa cara pelupusan sampah ini haram kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan tempatan.

“Nampaknya syarikat ini telah berjaya mengubah segala pemikiran masyarakat kita, tuan.” Kata pemandu  tersebut.

“Mengubah pemikiran masyarakat kita? Apa yang berubah? Sampah tetap sampah. Tidak pernah berubah. Kotor, busuk dan jijik.”

“Itu pada pandangan tuan. Tetapi masyarakat telah percaya bahawa sampah yang selama ini kita anggap kotor, busuk dan jijik itu adalah suatu yang indah dan berharga. Lihat saja berapa ramai masyarakat yang sanggup datang ke sini semata-mata hanya untuk membuang sampah.”

Tuan Pengarah seakan-akan tidak percaya akan kenyataan tersebut. Dia berasa sangat marah dan kebingungan. Jika hal ini tidak dicegah berkemungkinan dia akan diberhentikan kerja.

“Kamu kenal dengan pengurus syarikat ini? Tolong bawa saya untuk berjumpa dengannya!”

“Sangat kenal, tuan. Dia tidak susah untuk ditemui. Tanpa temu janji pun beliau tetap sudi berjumpa dengan sesiapa sahaja yang mahu berjumpa dengannya. Itupun dia, tuan. Lelaki yang berbaju putih dan bermisai tu.” Sambil menunjuk ke arah pengurus syarikat tersebut.

Tuan Pengarah dengan perasaaan marah terus meluru ke arah pengurus syarikat tersebut.

“Tuan Pengarah. Gembira saya dapat berjumpa dengan tuan. Satu kebanggaan buat syarikat saya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu? Ataupun tuan datang ni untuk buang sampah juga?”  

“Saya mendapat tahu awak menjalankan operasi pelupusan sampah ini tanpa lesen. Betulkah?” Soal Tuan Pengarah tanpa menjawab soalan daripada pengurus syarikat tersebut.

“Pembetulan. Bukan tanpa lesen tuan tetapi tanpa diberikan lesen.”

“Samalah tu!”

“Saya telah memohon lesen. Segala syarat telah saya patuhi. Saya rasa sudah banyak kali saya turun naik ke pejabat Majlis Perbandaran untuk berurusan tetapi jawapan yang saya terima tetap sama berkali-kali ‘permohonan tuan sedang dalam proses’. Tiap tahun saya membuat permohonan dan tiap tahun jugalah pihak tuan memproses permohonan saya.”

“Kenapa tidak terus datang berjumpa dengan saya?”

“Saya ada meminta untuk terus berjumpa dengan tuan tetapi PA tuan asyik bertanya tentang temu janji. Apabila saya hendak meminta untuk membuat temu janji dengan tuan, PA tuan menyatakan segala tarikh telah penuh dengan aktiviti tuan. Jadi, bagaimana saya hendak berjumpa dengan tuan kalau tuan asyik sibuk dengan urusan tuan sahaja?”

“Kamu mengutip wang dari penduduk bandar ini! Tidak adil bagi mereka. Perbuatan kamu untuk menipu mereka adalah satu kesalahan!”

“Tuan. Tuan. Tuan. Keadilan hanya ada di negara dongeng, tuan. Bukan di sini. Kami sendiri tidak pernah melihat keadilan. Bagaimana pula kami hendak mempercayai tentang kewujudan keadilan.”

“Dongeng? Kamu mengatakan keadilan yang ada di bandar ini hanya sebagai suatu dongeng?”

“Iya. Hanya dongeng yang direka-reka oleh tangan tuan sendiri. Sama seperti segala cerita tentang sampah-sampah ini. Segala-galanya hanya dongeng.”  

Comments

Popular Posts