Wacana

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.


Filem yang mengangkat kaum berkulit hitam


Oleh: Syed Ahmad Fathi
Di kala dunia sedang marak dengan kemarahan berkenaan pembunuhan George Floyd yang menjadi simbol penindasan terhadap African American, filem The Equalizer 2 (2018) lakonan mantap Denzel Washington sedikit sebanyak membangkitkan nilai kehebatan bangsa mereka di persada perfileman. Amaran awal, reviu ini mungkin mengandungi spoiler.
Opening scene filem ini dimulakan dengan permandangan kerta api lama yang di Turki menuju ke Istanbul. Bagi saya secara peribadi, mana-mana filem yang bermula dengan babak kereta api semacam mempunyai aura hebat yang tersendiri, menarik dari segi cinematography. Mengingatkan kita tentang filem-filem seperti Harry Potter dan Narnia. Kepada saya secara peribadi mengingatkan saya tentang kereta api Krasnaya Strela yang selalu saya naiki dalam pengembaraan saya di Rusia satu ketika dahulu.
Salah satu kelebihan menonton filem adalah ia membantu kita melihat perspektif lain, yang tidak mungkin dapat kita lihat dalam kaca mata kehidupan peribadi kita. Filem ini sebagai contoh membawakan perspektif seorang pesara agen perisikan keselamatan bernama Robert McCall. Setelah bersara, beliau memilih untuk hidup sederhana dengan menjadi pemandu kereta. Dalam masa yang sama beliau menggunakan skil yang dia ada untuk membantu masalah penumpang-penumpanya terutamanya dalam kes-kes jenayah. Beliau juga membantu seorang anak muda untuk mencari arah kehidupan.
Salah satu perkara yang saya minati tentang filem ini adalah pembawaan main character yang suka membaca. Banyak scene-scene McCall membaca buku, meminjamkan buku, malah ada scene beliau ke kedai buku untuk mengambil buku yang dia pesan. Antara buku yang ditampilkan dan dicadangkan adalah buku tulisan Ta-Nehisi Coates Between the World and Me, yang berbicara berkenaan dengan masalah perkauman di Amerika yang mungkin dapat membantu kita memberi perspektif terhadap apa yang berlaku kepada George Floyd.
Antara perkara yang mencuit intelek saya adalah perbincangan McCall dengan Dave, apabila McCall berjaya memahami bahawa kes pembunuhan kawannya Susan Plummer adalah konspirasi dalaman yang diketuai Dave. Dave dalam hujahnya untuk menjustifikasikan pembunuhan Susan membawakan argument moral nihilism yang berpaksikan teori evolusi semulajadi (natural evolution). Bagi Dave, apa yang dilakukan hanya merupakan kehendak biologi, tidak wujud apa yang dikatakan moral, nilai, baik atau buruk. Moral nihilism bersumberkan biologi ini juga boleh kita jumpa jika kita membaca buku tulisan Yuval Noah-Harari dimana beliau mengatakan “apa-apa yang boleh berlaku dari sudut biologi adalah natural“.
Filem ini bagi saya boleh dikatakan perfect kecuali ending-nya yang agak kelakar dan tidak masuk akal. Mungkin ini sahaja kritik saya terhadap filem ini. Saya tidak nampak apa perlunya Dave untuk mengekori McCall ke sebuah pulau bersama dengan pasukannya untuk dikalahkan. Jika benar Dave merupakan agen perisikan keselamatan pasti dari awal dia menyedari bahawa itu adalah perangkap. Walaupun happy ending, ia tetap seperti tidak masuk akal.
Begitu pekat, pembawaan isu menaikkan martabat sosial kaum African American, bukan sahaja buku Ta-Nehisi Coates, diakhir filem ini juga terlihat gambar Frederick Douglass seorang tokoh reformis sosial anti-perhambaan. Walaupun gambar tersebut kelihatan subtle dan ‘seolah-olah’ tidak disengajakan untuk ditonjolkan, namun bagi mereka yang mempunyai mata yang tajam dan peka dengan isu kaum kulit hitam, mereka pasti tidak akan ‘terlepas’ akannya.
Filem ini diakhiri dengan satu quote yang sangat powerful, apa yang perlu kita tinggalkan terhadap orang disekeliling kita, keluarga, sahabat, dan orang-orang yang pernah kita sentuh kehidupannya di dunia “I leave you the best of myself”.

|CERPEN| Mana IC kau?


Oleh: w. azzuar
        Pojok belakang bas Likas – KK berwarna putih biru, menuju rumah pada saat KK berwarna jingga. Bas singgah di perhentian bas Karamunsing. Tapi, kali ini lama. Aku mengangkat kepala menjenguk ke luar seperti mengintip aib-aib manusia. Apa yang berlaku?
        “Aduh!! Matai!!” ayat pertama muncul setelah tahu misteri berhentinya bas ini.
       Melangkahlah dia dengan gah dan bermaruah menaiki beberapa anak tangga bas itu. Dia memerhati semua warga yang ada di dalam bas seperti  penggembala mengira kambing.
        “Ok IC keluarkan” tanpa basa basi dan pengenalan diri  inilah yang keluar dari mulutnya.
        Aku sempat terkapar-kapar bingung mahu buat apa. Aku keluarkan dompet yang berisi resit, tiket wayang pudar, kenangan, dan yang paling penting kad pelajar. Inilah penyelamat dunia aku, kad pelajar. Sampai sahaja pak polisi itu di depanku, aku terus menghulur kad pelajar. Dia mengambil, mengimbas begitu lama. Barangkali dia membaca dan mentafsir satu persatu huruf yang tertera untuk memastikan aku ini bukan PTI.
      “Mana IC kau?” pak polisi bertanya dengan dahi berkerut barangkali musykil dengan aku yang berwajah nusantara entah belah Indonesia atau Filipina.
      “Maaf tuan, tertinggal IC di tempat mama saya”. Aku terketar sebenarnya, tapi penyamar mesti pandai berlakon ‘cool’ didepan pak polisi.
    “Umur kau 19 sudah wajib bawa IC. Kalau lepasni tinggal lagi saya bawa kau pergi balai.” Diceramahilah aku yang sudah dengar berkali-kali ayat itu. Lalu, pak polisi turun dari bas dengan tangan kosong kerana ternyata semua marhaen di dalam bas adalah warganegara.
     Ya. Inilah aku seperti yang tercoret dalam puisi Hidayu Hatta. “Hidup ditanyakan mati tidak dipersoal.” Ah, cukuplah sedu sedan aku harini. Besok-besok, pasti ada lagi yang terus bertanya “mana IC kau?”, “kenapa kau tiada IC”. Aku remaja yang tidak berapa mengerti kenapa aku lahir begini. Bersekolah, berkawan, merayau-rayau bandaraya KK sama seperti orang lain. Tetapi aku hanya ada surat beranak. Aku lahir disini, tetapi sekadar lidah tak mampu membuktikan hal itu. Yang terperit lagi, bukan semua orang faham dengan keadaan aku. Soalan-soalan itu menyakitkan sebenarnya. Disebabkan sudah berkali diajukan, aku jadi terbiasa disakiti. Hidup bersama orang awam tapi tiada IC. Sakit.
     Masih di dalam bas. Sekarang berhenti di Stadium Likas. Mataku berlari di padang bola yang membawa aku kepada kesakitan lagi. Lumrah anak muda mencari diri pada semua hal-hal yang seronok. Aku hampir bermain di peringkat negeri. Tetapi apakan daya. Bola itu bulat tetapi IC itu segalanya. Serta merta aku dibuang daripada latihan kerana tahu identiti diri aku yang tidak sempurna sesempurna orang yang ada IC. Aku tidak suka merayu, jadi aku dibuang kerana cikgu malas menyusahkan diri mengurus rayuan dan penyertaanku. Hasrat dan pengabdian aku pada bola sepak dihancurkan seperti gelas yang jatuh terpecah. Kawan-kawan mulailah bertanya “Kenapa kau tiada IC?” Aku menerangkan dari A hingga Z kepada hampir lebih 20 orang. Aku tidak menagih simpati, tapi hanya ingin orang lain memahami keadaan aku dengan tidak bertanya dan melelong cerita peribadi aku dengan harga yang murah. Kadang persoalan terus menerus diajukan seperti aku ini penjenayah.
      Hampir sampai ke kawasan Likas. Sekarang bas menggelongsor di tepian pantai yang lumayan indah melihat matahari terbenam. Lumrah sebahagian orang di dalam pengangkutan awam. Mana boleh diam mata daripada melirik dunia luar yang terus ikut berjalan. Jauh di langit, ada sebuah kapal terbang yang menuju entah kemana. Walau kapal terbang tinggi di udara, ia mampu melukakan aku yang kecil di dalam bas dengan kisahku. Tahun ini sepatutnya aku melanjutkan pengajian ke menara gading. Tetapi dengan tiadanya jawapan bilakah IC aku akan siap. Impian aku hanya angan-angan Mat Jenin. Semasa aku disuruh mengisi borang UPU, dengan teruja aku dan kawan-kawan berdiskusi universiti mana kami akan pergi.  Tibalah hari keputusan, dengan semangat dan keterujaan, aku memeriksa keputusan aku. Tetapi yang aku temui hari itu hanyalah sebak yang menyerang dada. Mana ada universiti mahu orang yang ‘degaga’ IC. Aku ambil keputusan untuk masuk tingkatan 6. Kalau murid lain mengisi borang warna putih, aku mengisi borang berwarna ‘pink’. Itulah istimewanya menjadi pelajar berstatus lewat kelahiran. Persekitaran baru, kawan baru dan cikgu baru. Aku pun menjawablah soalan-soalan yang begitu menghairankan manusia manusia ber-IC disekitarku tentang “Kenapa kau tiada IC?”
    Aku tidak salahkan ibu bapa. Sudah jodoh mempertemukan mereka dan melahirkan aku yang statusnya diragui ini. Apa boleh buat. Hakikatnya, bukan aku seorang sahaja yang dikurniakan nasib sebegini. Aku pernah berjumpa kenalan lama yang senasib denganku. Dialah manusia yang paling memahami derita antara kami. Walaupun di usia muda, sudah banyak hasrat dan bakat yang tidak tercapai dan terserlah dek masalah dokumen. Kami bertukar derita dan cerita dengan gembira dan bahagianya. Tupac pernah bilang “We were young and we were dumb, but we have heart”. Walaupun masih muda, tapi sudah membawa perasaan yang sebak ke mana-mana tempat yang asyik menanyakan soal IC. Tiada siapa peduli soal perasaan kita. Mahu tidak mahu, hidup mesti diteruskan dengan harapan setiap pagi semoga JPN menelefon harini kononnya permohonan kewarganegaraan sudah diluluskan. Ah, ini lagilah harapan palsu.
       Kami habitat terancam di tengah masyarakat. Ada bakat, ada ilmu dan ada pengalaman. Tetapi tiada IC. Saat mahu mengisi borang  atau menyertai apa-apa, pasti terkedu pada syarat yang dikenakan iaitu ‘warganegara sahaja’. Jadi di mana negara asalku ini? Mamaku selalu bilang “Akan dapat juga tu, tapi tidak tahu bila”. Aku berdoalah agar dapat IC sebelum aku kahwin supaya anak aku tidak rasa apa bapanya rasa. Ciaa, ayat tipikal bapa-bapa. Ada yang salahkan pengurusan kerajaan, ada yang salahkan ibu bapa tetapi aku memilih tidak salahkan siapa-siapa. Kadang hati kecil ada terdetik salahkan kerajaan. Ah, aku masih budak mentah, jangan tuduh semberono.
       Akhirnya, belum tiba destinasi sebenar, aku menekan lonceng bel bas apabila hampir di depan pintu masuk Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Aku terlalu banyak ditimpa sendu dan sebak harini. Masanya kembali, setelah putus harap pada manusia.  Yang aku syukuri, hanya mengadu kepada Allah sahaja tidak ditanyakan “Mana IC kau?” . Aku bebas di Masjid Bandaraya ini untuk meneroka setiap sudut, setiap sejadah untuk sujud. BEBAS. Tiada syarat di hadapan Tuhan untuk aku ajukan permintaan. Syurga juga tidak perlu mendaftar dengan IC. Allah tempat bergantung harap dan aku yakin Allah ingin mengajarkan sesuatu. Aku perhati dan mengambil pedoman dengan jelas. Ramai kawan-kawanku yang menyia-nyiakan peluang mempunyai IC mereka. Aku sangat ingin melanjutkan pelajaran tetapi mereka dengan peluang yang ada,  masih berfoya-foya dan tidak serius dalam belajar. Ternyata nikmat yang kecil amat besar bagi orang lain. Allah mahu aku belajar untuk menghargai segala yang kecil dan bergantung harap hanya padanya. Tidak semestinya  kerana IC aku dapat rezeki, semestinya kerana Allah yang Maha Bijaksana dalam caturannya.
       Segala derita dan ujian, akhirnya berbalik kepada Allah. Aku akhiri hariku dengan rebahan di atas katil yang sudah tidak empuk. Merenung siling dalam kamar yang malap. Fikiran terbeban dek nasib diri. Kadang aku terfikir, aku sebenarnya hanya malu dengan nasibku yang tidak sama dengan orang lain. Bukan kerana kurangnya penciptaan fizikalku, tapi kehidupan aku yang sentiasa diragui sama ada warganegara atau pendatang. Ah, sudahlah. Aku berdoa semoga esok pagi tiba-tiba ada sekeping kad berwarna biru dengan  wajahku yang kacak tertera.

Negara yang Membazir


Oleh: Syed Ahmad Fathi
Dalam perbahasan Yuval Noah Harari dalam bukunya yang menceritakan sejarah manusia, beliau menyatakan salah satu masalah saintis untuk membentuk semula kehidupan masyarakat primitif zaman batu (lebih tepat zaman kayu kerana alatan yang digunakan lebih banyak kayu dari batu) adalah sangat sedikit artifak sejarah yang berjaya terpelihara. Kebanyakan alatan kayu yang digunakan terurai dan musnah, tidak sampai ke zaman ini untuk dikaji. Ini berbeza dengan zaman moden, dimana setiap tingkah laku kita meninggalkan artifak yang sangat banyak. Aktiviti manusia untuk makan misalnya, meninggalkan artifak kecil seperti pinggan, sudu, dan garfu hinggalah ke artifak yang besar seperti kapal untuk menangkap ikan di laut dalam sebesar ratusan metrik tan.
Zaman moden ini membolehkan manusia menghasilkan makanan dengan skala yang tidak dicapai oleh zaman sebelumnya. Segalanya kini dihasilkan dalam skala industri, baik dalam sektor perladangan, tanaman, hingga ke pemprosesan makanan. Kita terlalu produktif sehingga banyak makanan ini tidak berakhir di mulut-mulut manusia tetapi di timbunan tempat pembuangan sampah.
Saya masih ingat ketika saya membesar di Kuala Lumpur, boleh dilihat bukit timbunan sampah di Kepong yang menjadi tempat perlupusan sisa pepejal. Permandangan timbunan sampah yang dihasilkan di Lembah Klang yang menjadi seperti bukit kecil itu melekat di dalam minda saya sehingga ke hari ini. Ia menjadi simbol bagi saya bertapa banyaknya sampah yang dihasilkan manusia.
Saya pernah menulis tentang sisa plastik, dimana saya tidak mempercayai solusi perlupusan plastik adalah dengan amalan kitar semula, ini bagi saya merupakan satu mitos, sebaliknya ia perlu dihentikan dari puncanya, iaitu pembuatan plastik itu sendiri, dan beralih kepada material lain yang boleh terurai. Yang mana teknologinya telah wujud, ia masalah political will bukan masalah teknologi. Tetapi untuk penulisan kali ini saya ingin memfokus tentang sampah yang boleh terurai dengan mudah, iaitu makanan.
John Oliver pernah membawakan isu ini dalam siri satira beliau. Di Amerika kira-kira 40% makanan yang dihasilkan tidak pernah dimakan. Ironinya walaupun kita sangat efisien menghasilkan makanan, dan kita membuang sebahagian besar dari makanan yang kita hasilkan, terdapat banyak keluarga yang masih hidup kelaparan. Walaupun kita tidak mengetahui peratusan makanan yang dibuang di Malaysia, namun apa yang pasti kita juga membuang banyak makanan. Lihat sahaja apa yang ada di pusat-pusat buangan sampah kita, atau mungkin tong sampah kita sendiri. Pengumpulan sisa makanan yang banyak ini juga mempunyai kesan buruk terhadap alam sekitar, jika makanan reput dalam proses biasa tiada apa yang perlu dirisaukan, tetapi makanan yang terperangkap di tempat pembuangan sisa akan mereput melalui sistem anaerobik yang menghasilkan gas metana yang menyumbang kepada pemanasan global.
Antara cara-cara kecil kita boleh mengurangkan pengumpulan sisa makanan di tempat pembungan sampah adalah dengan menyalurkannya ke tempat lain. Antara cara yang saya gemari adalah saranan pakcik Mark dari Self Sufficient Me, dari pada membuang sisa makanan, pakcik Mark akan menanamnya di kebun kecilnya. Selain dapat mengurangkan sisa pepejal, dia juga dapat menambah nutrien pada tanah kebunnya.
Baru-baru ini saya dapati ada sebuku kek mentega di dalam bakul sampah rumah saya. Saya perasan ia adalah kek yang diberi oleh jiran semasa hari raya. Namun kerana kami sudah mempunyai banyak makanan, kek itu dibiarkan sahaja di meja depan tidak berusik. Mungkin sudah beberapa hari jadi ahli rumah membuangnya ke dalam tong sampah. Saya ambil kek tersebut, ternyata ia tidak punya apa-apa kecacatan, masih elok dan boleh dimakan, tiada kulat, dan baunya masih segar. Bayangkan petani yang bersusah payah menanam gandum, pekerja kilang yang membuat mentega, pekerja kedai roti yang membuat kek, semua usaha mereka melahirkan kek yang akhirnya tidak dimakan dan terus ke tong sampah. Jadi saya cubit kecil-kecil dan saya taburkan kepada burung merpati yang selalu singgah di depan rumah, dari kek tersebut menjadi longgokan sampah lebih baik ia menjadi rezeki burung.
Terdapat banyak lagi cara untuk memastikan makanan kita tidak dibazirkan. Di MIT sebagai contoh, jika ada ahli bangunan yang mempunyai lebihan makanan, mereka boleh meletakkannya di satu meja di mana terdapat satu kamera yang dipanggil FoodCam yang akan mengambil gambar makanan tersebut dan secara automatik menghantar gambar tersebut kepada semua orang di dalam bangunan tersebut untuk memastikan makanan tersebut dimakan. Malah ada organisasi yang diwujudkan untuk ‘menyelamatkan’ makanan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Terserah kepada kita untuk berkreativiti dalam menyelesaikan masalah ini, tetapi kita haruslah memainkan peranan untuk memastikan kita makan apa yang kita beli dan hasilkan agar kita dapat mengelakkan masyarakat dan negara kita menjadi masyarakat dan negara yang membazir.

|PUISI| Si cantik


Oleh: Melur dan bias 
Hai si cantik,
pagi itu aku melihat kamu
meleraikan rambut yang kusut
mengeluh, bila alis mata tidak jadi
sampai aku pula yang dipersalahkan
bila baju yang kau beli tiga bulan yang lalu sudah sempit.
Walaupun aku dituduh tanpa sebarang bukti
aku diamkan sahaja
cantik itu sebuah perjuangan para wanita
demi secebis perhatian dan pujian.
Tetapi aku lebih suka,
bila engkau kembali terjaga dari koma
tuk aku beritahu, bahawa
“kau tetap cantik”.

|PUISI| Matinya Manusiawi


Oleh: Mukmin Nantang
Ketika mata dibuka, telinga dipasang, otak diransang, hatiku diusik, terdetik;
Semasa kecil padang main
Simbol manusiawi
Agama adalah main
Bangsa adalah main
Asal-usul adalah main
Kekayaan adalah main
Kehidupan adalah main, main dan main.
Tak kita persoalankan;
“Apa agamamu? apa bangsamu? Apa asal-usulmu? Apa miskin apa kaya? Apa hitam apa putih kulitmu?”
Tak kita persoalkan.
Ketika mata dibuka, telinga dipasang, otak diransang, hatiku diusik, terdetik;
Sesudah dewasa tiada padang
cuma gelanggang perbezaan
Simbol keangkuhan
Agama adalah perbezaan
Bangsa adalah perbezaan
Asal-usul adalah perbezaan
Kekayaan adalah perbezaan
Kehidupan adalah perbezaan, perbezaan dan perbezaan.
Sering kita persoalankan;
“Apa agamamu? apa bangsamu? Apa asal-usulmu? Apa miskin apa kaya? Apa hitam apa putih kulitmu?”
Sering kita persoalankan
Ketika mata dibuka, telinga dipasang, otak diransang, hatiku diusik, terdetik;
Agamamu miliki syurga
Bangsamu miliki dunia
Asal-usulmu miliki tanah
Kekayaanmu miliki semuanya
Ketika mata dibuka, telinga dipasang, otak diransang, hatiku diusik, terdetik;
Agamanya malapetaka
Bangsanya malapetaka
Asal-usulnya malapetaka
Kemiskinannya malapetaka
Ketika mata dibuka, telinga dipasang, otak diransang, hatiku diusik, terdetik;
Ketika matamu ditutup, telingamu ditutup, otakmu ditutup, hatimu ditutup, tertutup.
Matilah kemanusiaan.
27/02/20

Comments

Popular Posts